My Credential

Corporate Investment Advisor for MAPAN (Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional)
Corporate Investment Advisor for Globe Departmental Store
Formerly a Remisier with HLG Securities

SmartSERIES : Celik Kewangan bagi Wanita

Mengapa wanita perlu berdikari dalam soal kewangan?
Wanita patut membina matlamat untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan tidak bergantung kepada lelaki. Hakikatnya, jangka hayat wanita kini lebih panjang berbanding lelaki dan biasanya wanita hidup dalam kesempitan selepas bersara kerana kurang persediaan. Lazimnya wanita berpendapatan lebih rendah dan wanita juga kurang membuat pelaburan. Ini bermakna wanita mendapat kurang ganjaran pencen dan faedah persaraan. Oleh itu, penting bagi wanita untuk belajar mengawal cara berbelanja dan menyedari bahawa menguruskan wang adalah sama penting dengan mendapatkan wang.

Mengapa wanita perlu mempunyai pengetahuan mengenai kewangan?
Kebanyakan wanita berasa bahawa mereka tidak begitu memahami soal kewangan peribadi kerana mereka tidak begitu pandai matematik. Mereka lebih konservatif dan takut untuk membuat keputusan dalam soal kewangan. Dan jika ragu-ragu, mereka lebih cenderung berdiam diri.

 Pengetahuan mengenai perkara yang membabitkan kewangan dapat membantu anda lebih cekap membuat keputusan. Pengetahuan itu juga mengurangkan kemungkinan anda melakukan kesilapan dan tertipu, di samping itu anda dapat belajar membezakan antara keperluan dan kehendak anda. Anda akan lebih memahami jenis produk pelaburan yang berbeza di pasaran, teknologi baru dan kemajuan dalam perkhidmatan kewangan,

Dengan menjadi orang yang celik kewangan, wanita boleh memperbaiki kualiti hidup mereka melalui amalan tatalaku pengurusan yang lebih kukuh, membuat keputusan yang tekal dengan nilai-nilai mereka dan lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka. Wanita mempunyai keupayaan untuk belajar dan memperoleh pengetahuan serta kemahiran.

Di manakah wanita boleh mendapat maklumat dan bantuan?
Maklumat boleh didapati secara bebas daripada akhbar, televisyen dan media lain. Tumpukan kepada sumber maklumat yang secara tradisionalnya dihormati, yang turut merangkumi buku dan majalah kewangan. Hadiri seminar dan bengkel untuk pembelajaran yang lebih interaktif.

Dapatkan nasihat daripada institusi kewangan
 Bank menawarkan pelaburan tradisional dan menyediakan maklumat pendidikan mengenai produk dan perkhidmatan baru. Sistem perbankan persendirian menyediakan khidmat nasihat kewangan mengikut kehendak pelanggan.
 Broker saham membeli dan menjual sekuriti seperti saham, bon dan unit amanah. Mereka menyediakan bahan-bahan penyelidikan dan maklumat lain yang berkaitan.
 Pengurus dana dan penasihat bebas menyediakan perkhidmatan pengurusan aset dan bahan-bahan penyelidikan yang boleh membantu dalam membuat keputusan.

Dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan
 Akauntan menyediakan perkhidmatan perakaunan, nasihat kewangan dan nasihat mengenai perkara yang berkaitan dengan cukai.
 Perancang harta menyediakan khidmat nasihat perancangan harta, duti harta pusaka, dan strategi pengurusan aset apabila berlaku kematian.
 Perancang kewangan menyediakan khidmat nasihat mengenai perancangan kewangan.
 Ejen insurans menyediakan khidmat nasihat mengenai semua perkara berkaitan perancangan insurans dan pengurusan risiko. Mereka juga menjual produk insurans.
 Penasihat pelaburan menyediakan khidmat nasihat bagi perkara-perkara berkaitan pelaburan berasaskan sekuriti tetapi tidak dibenarkan menjual sekuriti.
 Ejen cukai menyediakan khidmat nasihat bagi perkara-perkara berkaitan dengan cukai dan boleh membantu menyediakan dan menghantar borang cukai.


Ketahui Tentang Penasihat

Apa yang mereka perlu lakukan
 Penasihat wujud untuk membantu mengenal pasti masalah dan matlamat anda supaya mereka dapat membantu anda merangka pelan bagi mencapai matlamat tersebut. Mereka membantu anda memahami risiko yang berkaitan dengan pelaburan dan menyediakan khidmat nasihat pelaburan.

Apa yang mereka perlu beritahu anda
 Mereka mesti memberikan anda maklumat mengenai diri mereka bagi mengukuhkan kredibiliti mereka kepada anda. Mereka mesti memberitahu anda apa yang berlaku kepada wang anda sekiranya anda membenarkan mereka menguruskannya, apakah yuran yang dikenakan ke atas anda dan sama ada mereka menerima sebarang manfaat daripada cadangan mereka itu.

Jangan percaya semua perkara yang diberitahu oleh mereka
 Ingatlah bahawa nasihat mereka mungkin bersifat berat sebelah, dan apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik juga untuk anda..


Membuat keputusan berdasarkan maklumat

Risiko dan pulangan berkait rapat
 Ingatlah bahawa pulangan tinggi sentiasa diiringi risiko yang juga tinggi. Jika anda mahu pulangan yang baik, bersedialah untuk menghadapi risiko kerugian.

Rakan kita bukan semuanya pakar
 Kita sering dipengaruhi kawan tetapi perlu diingat bahawa objektif mereka mungkin tidak sama dengan objektif kita. Pandangan mereka mungkin berbeza dengan pandangan kita. Juga, sumber mereka mungkin tidak boleh dipercayai.


Enam perkara perlu diingat
1. Jangan terima sahaja sebarang nasihat
2. Fahami sepenuhnya ciri-ciri sesuatu pelaburan
3. Fahami kesan daripada setiap keputusan kewangan
4. Jangan laburkan semua wang anda dalam satu pelaburan
5. Dapatkan nasihat secara bertulis
6. Selalulah menilai kedudukan kewangan anda



Perancangan kewangan
Dalam perancangan kewangan anda, tetapkan matlamat yang realistik dan bersikap realistik terhadap jangkaan anda. Sentiasa bertanggungjawab terhadap kewangan anda.

0 comments:

Post a Comment

 
learn2bsmart ◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates