My Credential

Corporate Investment Advisor for MAPAN (Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional)
Corporate Investment Advisor for Globe Departmental Store
Formerly a Remisier with HLG Securities

SmartSERIES : Risiko Vs Ganjaran

Risiko, Ganjaran dan Anda Sebagai Pelabur
Berapa Banyak Risiko Yang Boleh Diambil?

Ada satu prinsip asas yang perlu anda ingat sebelum melaksanakan pelan kewangan. Prinsip itu ialah: lebih tinggi pulangan daripada sesuatu pelaburan, lebih tinggi risikonya.

Ini merupakan prinsip penting pelaburan, keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait langsung dengan setiap keputusan

pelaburan yang dibuat. Apabila membeli atau menjual sesuatu produk pelaburan, anda sentiasa menghadapi risiko kerugian. Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu produk dengan produk yang lain.

Amnya, produk yang menjanjikan pulangan paling banyak (seperti niaga hadapan, opsyen dan saham yang harga meningkat dengan cepat) merupakan pelaburan yang paling berisiko - jadi, makin banyak risiko yang anda ambil dengan pelaburan-pelaburan jenis ini, semakin besar kemungkinannya ganjaran yang bakal diterima juga besar. Tetapi, kemungkinan besar pula anda boleh hilang wang pelaburan anda. Begitulah sebaliknya dengan produk kewangan yang dianggap "selamat" seperti simpanan di bank dan bon yang memberi pulangan kecil dan mantap. Kemungkinan wang anda hangus kecil sekali kerana pelaburan seperti ini mempunyai risiko rendah. Tetapi pulangannya juga rendah. Inilah yang dimaksudkan dengan perseimbangan antara risiko dan ganjaran.

Sebenarnya risiko sesuatu pelaburan itu bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam lain perkatan berapa banyak risiko yang anda sanggup terima. Risiko bermakna, mengambil sesuatu langkah yang tidak pasti iaitu tiada jaminan hasil langkah yang diambil itu akan memihak kepada anda. Ketahanan menghadapi risiko diukur melalui penerimaan anda terhadap hasil daripada sesuatu pelaburan. Sama ada anda boleh mengambil risiko dan sampai ke tahap mana ketahanan anda, bergantung kepada kedudukan kewangan anda (ini merangkumi nilai bersih, pendapatan dan jangkaan hasil pendapatan pada masa hadapan), personaliti dan matlamat kewangan anda.

Hampir semua buku yang mengajar kita mengenai pelaburan pasti memasukkan kuiz profil risiko pelabur untuk membantu kita memastikan daya ketahanan terhadap risiko. Jawab ujian ini dan ketahuilah profil pelaburan anda: sama ada konservatif, sederhana atau agresif. Pelabur yang agresif akan mengambil risiko besar untuk mendapat keuntungan besar. Pelabur konservatif akan mencari pelaburan selamat dan berpuas hati dengan pelaburan yang membawa pendapatan mantap. Pelabur sederhana pula berada di tengah-tengah: dia mengambil sikap berhati-hati tetapi bersedia mengambil sedikit risiko untuk mendapat pulangan lebih baik.

Nak tahu ketahanan anda menghadapi risiko, tanya diri sendiri fasal tidur. Bolehkah anda melaburkan semua wang dalam sesuatu aset dan tetap dapat tidur nyenyak? Jika tak boleh, bermakna pelaburan bukan untuk anda.


Memahami Risiko Pelaburan

Apakah risiko yang dihadapi oleh pelabur seperti anda?

Salah satu bentuk risiko dinamakan 'risiko asas' yang meliputi semua jenis pelaburan. Risiko jenis ini wujud dalam mana-mana perniagaan dan dipengaruhi oleh tahap kecekapan pengurusan syarikat dan kedudukan syarikat dalam arus persaingan pasaran.

Cara terbaik untuk meminimumkan kesan risiko ini ke atas portfolio anda ialah dengan mempelbagaikan pelaburan; iaitu melabur dalam lain-lain syarikat, dalam industri yang berbeza-beza, dan dalam lingkungan kelas aset yang sama.

Yang kedua ialah risiko pasaran, juga dikenali sebagai risiko teknikal. Risiko ini pula berkaitan dengan bagaimana keadaan pasaran di mana anda mempunyai pelaburan. Ini membabitkan faktor-faktor ekonomi seperti kitaran perniagaan, inflasi dan pengangguran. Umpamanya, dalam sesuatu tempoh tertentu ekonomi, pasaran hartanah mungkin mempunyai prestasi lebih baik berbanding pasaran saham. Untuk menguruskan risiko pasaran, bijak jika mempunyai portfolio yang seimbang - iaitu mempelbagaikan pelaburan di kalangan sesuatu kumpulan aset dan mengawasi keadaan ekonomi negara untuk mengenal pasti syarikat mana yang berpotensi untuk berjaya dan yang mana pula yang mungkin merudum.

Risiko kadar faedah juga risiko yang perlu dihadapi. Biasanya ramai mengandaikan bahawa risiko kadar faedah hanya mempengaruhi pasaran bon. Ini tidak benar kerana kadar faedah juga turut memberi kesan kepada pasaran saham. Memang benar nilai saham dipengaruhi oleh lain-lainfaktor langsung. Yang perlu diingatkesan gerakankadar faedah mempunyai kesan terbalik bukan macam bon.

Risiko inflasi pula ialah risiko pelaburan anda dilangkau oleh inflasi yang bergerak pantas dan menghakis nilai pelaburan tersebut. Ini ialah risiko kuasa belian. Jadi, anda harus mencari saham, hartanah dan pelaburan yang akan mengatasi kadar inflasi dalam jangka masa tertentu. Jangan lupa juga untuk memasukkan faktor inflasi ketika mengira andaian pulangan daripada pelaburan anda. Ini cara yang betul untuk mendapatkan gambaran sebenar keuntungan yang diperoleh.

Akhirnya, risiko kecairan. Ini merupakan jawapan kepada soalan, berapa cepat saya boleh menukar aset pelaburan kepada nilai penuh wang tunai? Simpanan di bank adalah antara risiko kecairan paling rendah manakala pelaburan hartanah pula mempunyai risiko kecairan paling tinggi. Saham dan unit amanah juga mempunyai kecairan yang baik kerana, selepas menjualnya, anda hanya perlu menunggu beberapa hari (bekerja) sahaja untuk mendapat wang anda.


Anda Jenis Pelabur Yang Mana?

Di sini ada beberapa contoh profil risiko pelabur dan pelaburan tipikal yang dipadankan dengan personaliti dan objektif mereka.


Profil Pelabur
Pelaburan Tipikal

Terlalu konservatif
Sekuriti kerajaan, sekuriti yang disokong oleh bank
Sekuriti pemegang amanah

Konservatif
Julat lebih luas bagi pelaburan yang memberi pulangan sahaja, debentur, bon korporat, produk insurans tertentu

Julat pertengahan
Harta (umpamanya rumah) yang belum siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa

Usahawan
Harta yang sudah siap, pertumbuhan saham, unit amanah yang berkaitan dengan pelaburan (Dengan penekanan kepada pertumbuhan), pelaburan antarabangsa

Spekulasi
Dagangan opsyen, niaga hadapan, barangan eksotik dan himpunan barang-barang berharga

Nota: Jadual di atas hanya sebagai petunjuk. Untuk lebih tepat, ciri-ciri dan faktor-faktor lain perlu diambil kira. Juga, ada pertindihan dalam pengkelasan jenis pelabur. Justeru, ada pelabur mungkin tidak bersetuju dengan ciri-ciri pelaburan yang dipadankan dengan profil risiko.




Pempelbagaian - Lebih Selamat Jika Diperlbagaikan

Satu cara yang selalu disebut ketika bercakap mengenai bagaimana mengelakkan daripada menghadapi banyak risiko dalam pelaburan ialah pempelbagaian.

Pempelbagaian bermakna "mengembangkan pelaburan kepada beberapa cabang", iaitu tidak meletakkan wang dalam satu pelaburan sahaja, sebaliknya menyertai beberapa pelaburan.

Samalah seperti tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul, kerana jika bakul terhempas jatuh, kemungkinan semua telur akan pecah. Begitu juga, jika anda melaburkan semua wang dalam saham satu syarikat, jika nilai saham itu menjunam jatuh, anda mungkin kehilangan wang yang dilaburkan.

Sesuatu portfolio pelaburan yang dipelbagaikan mempunyai beberapa cabang pelaburan. Setiap cabang boleh pula disamakan dengan satu kumpulan aset (seperti saham atau bon atau niaga hadapan). Langkah selanjutnya ialah mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kumpulan aset tersebut. Misalnya jika membeli saham belilah daripada berbagai-bagai sektor; atau jika membeli unit amanah, belilah lebih daripada satu jenis (umpamanya dana pendapatan, dana pertumbuhan, dana bon dan lain-lain).

Strategi yang baik ialah menggabungkan pelaburan yang berisiko tinggi dengan yang berisiko rendah dan meletakkan pelaburan itu dalam setiap cabang pelaburan dan kumpulan aset. Mengapa buat demikian? Supaya anda mempunyai peluang lebih baik untuk berjaya dalam sesuatu kelas aset dan di kalangan kumpulan sesuatu aset. Bayangkan bagaimana jika semua wang simpanan anda terikat dalam pasaran saham sedangkan anda dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang tunai dengan cepat. Sudah tentu anda menghadapi masalah mudahtunai sekiranya pada waktu itu pasaran saham pula terus menjunam. Keadaan ini terjadi akibat tidak mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kumpulan aset. Atau anda mungkin meletakkan semua wang dalam saham hartanah, kemudian mendapati perniagaan hartanah menjunam jatuh sedangkan saham sektor lain pula melonjak naik. Ini ialah contoh tidak mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu kelas aset.

Tetapi, melalui pempelbagaian, jika satu daripada aset anda menjunam teruk, anda mempunyai banyak pilihan lain sebagai sandaran. Jika anda membuat mempelbagaikan pelaburan secara bijak, kerugian yang ditanggung dalam sesuatu pelaburan boleh ditampung oleh keuntungan daripada pelaburan lain yang berprestasi baik. Risiko pelaburan anda juga dapat dikurangkan manakala kadar purata pulangan dapat dimaksimumkan.

Bagaimanapun, elakkan daripada mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan. Memang betul tidak wajar jika anda melaburkan semua wang dalam satu tempat, tetapi melaburkannya dalam terlalu banyak instrumen kewangan juga tidak bijak kerana sukar untuk mengawasi semua pelaburan serentak. Lagipun, kalau mempelbagaikan pelaburan secara berlebihan, pelaburan anda akan membuat imbangan balas antara satu sama lain (mungkin pelaburan yang mengalami kerugian lebih banyak berbanding pelaburan yang untung dan keuntungan itu terpaksa digunakan untuk menutup kerugian) hingga menyebabkan akhirnya anda tidak mendapat apa-apa daripada pulangan pelaburan anda.





Awasi Pelaburan Anda

Persekitaran yang berubah-ubah

Setelah mula melabur jangan pula mengabaikan pelan pelaburan atau berhenti membuat kajian pasaran. Anda masih perlu terus membaca dokumen kewangan dan laporan syarikat, membuka mata dan telinga seluas-luasnya terhadap berita yang boleh mempengaruhi prestasi pelaburan anda. Pastikan anda sentiasa prihatin dan mengetahui berita terkini mengenai syarikat di mana anda mempunyai. Mengapa anda perlu buat begitu?

Pertama, kita hidup di dunia yang dinamik. Tiada apa dalam persekitaran kita yang statik - dan ini turut menjadi faktor mengapa pelan kewangan anda, walau sebagus mana perancangannya sekali pun dan sebaik mana pelaksanaannya, perlu kepada perubahan. Katakan syarikat yang anda turut menjadi pemegang saham merosot perniagaannya dan menyebabkan pelaburan anda menghadapi risiko. Macam-macam boleh berlaku. Undang-undang dan peraturan boleh berubah, ekonomi tempatan atau ekonomi dunia boleh meleset (ingat lagi kesan peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 lalu?), keadaan pasaran modal dan kedudukan syarikat-syarikat turut berubah, semua ini boleh memberi kesan kepada pelaburan anda. Akibatnya, pelan dan matlamat kewangan anda mungkin juga berubah dan jika ini berlaku pelaburan anda mungkin perlu juga dirombak semula kerana ia tidak dapat lagi memenuhi matlamat kewangan anda. Dalam lain perkataan, pelabur yang berjaya adalah pelabur yang proaktif.

Mengubahsuai Pelan Anda
Kedua, anda juga patut mengkaji semula portfolio anda kerana kedudukan kewangan anda sendiri mungkin sudah berubah. Kajian semula ini perlu untuk memungkinkan penyusunan semula pelan dan matlamat anda. Katakanlah, anda menerima durian runtuh dan kini mempunyai lebih banyak wang untuk dilaburkan - bolehlah anda mencorak matlamat yang lebih besar. Atau, nilai bersih wang anda mungkin telah meningkat melalui pembelian sesuatu harta, dan kini tabungan anda untuk pelaburan berkurangan dan anda perlu mengubahsuai pelan anda.

Penilaian Prestasi
Ketiga, anda harus mengawasi dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui kedudukannya. Jika pelaburan itu menunjukkan prestasi baik, mungkin anda perlu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan dan melaburkannya di tempat lain pula. Jika tidak, anda mungkin perlu memutuskan untuk menjualnya. Berapa kerap kajian semula perlu dibuat bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan anda serta sama ada anda telah memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.
Ketika mengukur prestasi aset anda, gunakan jumlah angka pulangan, dan bukan angka pulangan pendapatan. Pulangan pendapatan merupakan pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan. Dalam kes saham, pendapatan diperoleh daripada pembayaran dividen; manakala bagi pelaburan hutang seperti bon, pendapatannya adalah dalam bentuk pembayaran faedah.

Jumlah pulangan ialah pengukur prestasi paling tepat kerana ia turut mengambil kira sama ada terdapat untung (atau rugi) dalam nilai pelaburan itu mengikut pergerakan masa. Untuk saham, jumlah pulangan ialah jumlah pendapatan dividen dan untung/rugi modal (perbezaan antara harga jualan dan harga kos). Untuk mendapatkan peratus pulangan, bahagikan jumlah pulangan dengan kos pelaburan dan darab dengan 100.

Mengawasi saham
Anda juga perlu mengawasi syarikat yang sahamnya anda beli, dengan melihat keuntungan, pertumbuhan pendapatan, penggearan dan pembayaran dividen. Baca pengumuman syarikat, surat pekeliling pemegang saham, laporan tahunan dan interim, serta beri tumpukan terhadap tarikh tutup hak, waran, pengambilalihan, perolehan, laporan juruaudit dan kepentingan pengarah. Anda juga patut menghadiri mesyuarat tahunan untuk mengetahui bagaimana syarikat itu diuruskan dan untuk mengukur prospek perniagaannya.

Mengawasi unit amanah
Bagi skim pelaburan secara kolektif seperti unit amanah, anda harus mengawasi pengurus dana daripada segi:
 Prestasi
 Strategi
 Portfolio

Maklumat yang boleh anda minta daripada pengurus dana, adalah:
 Prestasi pasaran pelaburan yang berkenaan
 Tahap kemudahubahan yang berkaitan dengan pulangan
 Kadar inflasi
 Prestasi pengurus dana lain yang seumpamanya
 Strategi yang digunakan dalam tempoh terdekat

Pengurus dana dinilai berdasarkan perkhidmatan yang mereka sediakan, khususnya prestasi dan laporan. Adakah jangkaan anda mengenai pulangan daripada pelaburan anda sudah dipenuhi? Apakah pengurus dana itu melakukan sebagaimana yang anda jangkakan, misalnya membeli saham mengikut strategi yang telah diatur dan mandat yang diberikan?

Anda juga perlu ingat bahawa hasil pelaburan itu bergantung kepada banyak faktor secara rawak dan data prestasi jangka pendek mungkin tidak dapat menilai kemahiran pelaburan pengurus dana secara tepat


10 Tips Melabur dengan Bijak dalam Pasaran Modal

Pasaran Modal Malaysia menawarkan produk pelaburan yang berikut:

 saham (ekuiti)
 bon
 waran, CULS (saham pinjaman)
 dagangan komoditi
 niaga hadapan & indeks opsyen
 unit amanah

selain daripada aset pelaburan bukan modal seperti simpanan bank, hartanah, insurans dan barang koleksi bernilai.


Seorang pelabur bijak akan memilih satu atau lebih daripada aset pelaburan di atas, bukan sahaja berdasarkan matlamat dan jumlah modal yang dimiliki, tetapi juga bergantung kepada kesanggupan menerima risiko. Semua pelaburan mempunyai risiko; sebahagiannya lebih berisiko berbanding yang lain. Anda perlu memastikan sama ada anda seorang yang sanggup menerima risiko atau sebaliknya supaya anda boleh meneruskan program pelaburan sama ada yang agresif, sederhana atau konservatif. Pendek kata, pilih strategi pelaburan yang sesuai dengan profil anda kerana anda perlu rasa senang dengan pilihan tersebut. Jika anda tidak sanggup menerima risiko, elakkan melabur dalam ekuiti kerana harganya sentiasa turun naik dalam masa yang singkat. Anda boleh melabur seberapa agresif yang anda ingini, asalkan masih boleh tidur nyenyak pada waktu malam.


Bon, komoditi, niaga hadapan dan opsyen ialah instrumen modal yang menarik bagi pelabur institusi dan memerlukan modal yang besar untuk berurus niaga. Sebagai pelabur runcit, anda mungkin lebih selesa melabur dalam ekuiti dan unit amanah. Tetapi yang mana lebih sesuai untuk anda?

Jika anda ada banyak masa untuk membuat penyelidikan tentang saham dan arah aliran pasaran, serta gemar menguji kebolehan sendiri, anda bolehlah melabur terus dalam pasaran saham. Sebaliknya, jika anda tidak mahu menanggung bebanan setiap hari mengendalikan sendiri urusan pelaburan, menyediakan sejumlah wang setiap kali membuat pelaburan dan mengambil langkah untuk mempelbagaikan pelaburan secepat mungkin, anda patut mempertimbangkan untuk melabur dalam unit amanah.




Jangan laburkan wang sebelum anda benar-benar memahami semua maklumat yang berkaitan dengan pelaburan.

Bagi saham,
anda perlu membuat pilihan berdasarkan pendekatan fundamental, bukan berdasarkan khabar angin. Bersedia untuk membuat analisis terhadap laporan tahunan syarikat, penyata kewangan dan laporan lain serta mengikuti semua perkembangan pelaburan dalam industri berkenaan, dalam negara, dan di peringkat antarabangsa. Anda mungkin boleh menggabungkan pendekatan analisis fundamental ini dengan pemilihan masa yang tepat dan bijak untuk memasuki pasaran. Berwaspada terhadap apa saja cadangan daripada rakan anda atau khabar angin, terutamanya jika tiada penjelasan munasabah disebalik cadangan itu. Prinsip asas membeli saham ialah caveat emptor: biar pembeli berwaspada.

Bagi unit amanah, anda harus meneliti dana unit amanah dan syarikat pengurusannya sebelum membuat pelaburan. Baca dan fahami prospektus dana, surat ikatan amanah, penyata kewangan, matlamat pelaburan, di mana dan bagaimana wang anda dilaburkan, risiko terbabit dan bayaran yang dikenakan. Buat penyelidikan, kumpulkan maklumat mengenai prestasi dana syarikat itu pada masa lalu dan bandingkan dengan prestasi dana syarikat lain dalam bidang yang sama - anda patut mempertimbangkan untuk melabur dalam dana yang menunjukkan prestasi terbaik ketika pasaran kurang memberangsangkan (tetapi melibatkan pengambilan risiko yang tinggi). Tetapi perlu diingat bahawa prestasi dana yang menggalakkan pada masa lalu tidak menjamin prestasi baik pada masa hadapan.




Jangan memulakan sebarang program pelaburan jika anda belum mengumpul wang simpanan secukupnya sebagai penampan perbelanjaan kecemasan selama antara enam hingga sembilan bulan. Penampan ini penting supaya program pelaburan tidak terjejas akibat berlakunya keperluan kewangan yang mendesak. Hutang jangka pendek perlu dilangsaikan sebelum menggunakan wang simpanan untuk melabur. Fahami risiko yang lebih besar jika melabur dengan wang pinjaman.



Berfikir secara jangka pendek boleh menjejaskan keberkesanan rancangan jangka panjang. Harus diingat bahawa dalam apa jua pelaburan, akan wujud keadaan tidak menentu yang akan pulih semula dalam tempoh jangka panjang. Oleh itu, anda perlu bersabar dan memegang pelaburan bagi tempoh lebih lama. Sejarah menunjukkan bahawa pasaran pelaburan tetap akan kembali pulih dan bergerak ke tahap baru yang lebih tinggi. Tetapi jika anda hendak membuat spekulasi bagi mendapat keuntungan segera, lakukan dengan berhati-hati dan pastikan jumlah wang yang dilaburkan tidak akan membebankan anda sekiranya berlaku kerugian.



Strategi bijak ini menyebabkan turun naik pasaran memberi manfaat kepada anda kerana melaburkan sejumlah tetap wang pada jarak waktu yang tetap bagi tempoh masa tertentu, akan mengurangkan kos purata jangka panjang bagi setiap saham. Ini merupakan cara terbaik untuk melabur dalam ekuiti yang sentiasa turun naik harganya kerana anda dapat membeli lebih banyak unit saham apabila harga turun dan membeli sedikit apabila harga naik. Cara ini juga boleh menggantikan strategi yang boleh membebankan kerana perlu meramalkan masa sesuai untuk melabur dalam pasaran.



Cara terbaik untuk mengurangkan risiko sambil mengekalkan kadar pulangan tinggi ialah mempelbagaikan pelaburan anda dalam pelbagai jenis produk pelaburan dan kelas aset. Jika anda hanya melabur dalam ekuiti, lebih wajar membuat pelaburan dalam pelbagai syarikat dan sektor. Jika anda melabur dalam unit amanah, pilih beberapa jenis dana jangan terhad pada satu. Kerugian yang dialami oleh beberapa kaunter/dana boleh ditampung oleh keuntungan yang dinikmati di kaunter/dana lain. Cara ini mengelakkan anda daripada terlalu terdedah kepada risiko satu pelaburan sahaja. Kata orang, lebih banyak, lebih selamat. Bagaimanapun, elakkan daripada mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan kerana ini boleh mengurangkan prestasi portfolio anda.



Sentiasa mengkaji semula dan mengawasi pelaburan anda untuk memastikan bahawa program pelaburan itu masih bersesuaian dengan matlamat kewangan anda. Pantau prestasi pelaburan anda untuk memastikan sama ada matlamat pulangan yang diharapkan telah dicapai, atau anda mungkin perlu menyusun semula pelaburan sekiranya gabungan pelaburan anda tidak sesuai lagi. Jangan takut menukar sesuatu pelaburan yang terlebih nilai dengan pelaburan baru yang lebih rendah nilainya. Tukar pelaburan untuk menyelamatkan modal anda dalam keadaan pasaran tidak menentu, bukan mengejar pendapatan lumayan yang belum pasti lagi.



Berhati-hati sekiranya ditawarkan keuntungan segera atau pulangan tinggi. Pada bulan Disember 2001, Suruhanjaya Sekuriti telah mengambil tindakan terhadap penipuan firma pasaran komoditi lani yang menipu pelabur beribu-ribu ringgit melalui skim mereka. Ketahui lebih lanjut penipuan tersebut dalam http://www.sc.com.my/html/resources/fr_resource.html.

Lima Mitos Pasaran Saham
Andaian salah paling umum mengenai pasaran saham yang tidak usah anda hiraukan.

1. Pasaran saham ialah kasino!
 Tidak, pasaran saham BUKAN kasino. Melabur dalam saham pada dasarnya berbeza daripada berjudi. Membeli saham atau stok mewakili pemilikan dalam sesuatu syarikat dan memberikan hak kepada pembeli menuntut hak terhadap aset syarikat dan berkongsi keuntungan syarikat. Selalunya, pelabur berfikir bahawa membeli saham merupakan cara untuk mencuba nasib dan mendapat keuntungan dengan cepat. Tanggapan ini salah.


2. Hanya untuk orang kaya
 Tanggapan ini tidak tepat kerana sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan pelaburan yang baik dan sedikit wang simpanan boleh melabur dalam pasaran saham. Pelabur berjaya bukan mereka yang kaya tetapi mereka yang menggunakan maklumat dengan berkesan dan mendapatkan bantuan daripada golongan profesional berlesen untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat.

3. Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pasaran “bul”
 Ketika pasaran bul atau ketika pasaran sedang naik dan aktif, bukanlah satu-satunya masa paling baik untuk melabur. Berbekalkan maklumat yang baik dan pemilihan saham yang teliti, pelabur boleh membuat keputusan pelaburan yang baik pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika pasaran bul atau bear (apabila pasaran jatuh dan tidak aktif).



4. Mustahil melabur tanpa “maklumat panas”
 Walaupun tanpa “maklumat panas” pelabur masih boleh membuat keputusan pelaburan yang baik jika mereka melakukan penyelidikan sendiri. Pelabur mesti memahami dengan jelas mengenai pelaburan mereka dan tidak bergantung hanya kepada maklumat panas. Sekiranya pelabur tidak mempunyai pengetahuan atau mempunyai hanya sedikit pengetahuan mengenai pelaburan, lebih baik jika mendapatkan khidmat nasihat penasihat pelabur. Pastikan dia mempunyai lesen yang sempurna.


5. Beli saham harga murah ketika pasaran bulis
 Membeli saham harga murah ketika pasaran bulis dengan harapan harganya akan naik ketika pasaran sedang bulis bukan merupakan strategi pelaburan yang berkesan. Strategi lebih baik ialah membeli saham syarikat yang mempunyai asas yang baik pada harga berpatutan. Ini kerana harga merupakan hanya satu bahagian daripada pelaburan saham. Jangan keliru dengan konsep pelaburan nilai. Ini bukan bermakna membeli saham apa sahaja syarikat yang harga pasarannya sedang menjunam, seperti kata pepatah lama Wall Street,“Siapa yang cuba menangkap pisau yang jatuh, pasti luka”. Pelaburan nilai ialah membeli saham syarikat berkualiti tinggi yang dinilai rendah oleh pasaran.

Menyimpan Kertas Berkaitan Pelaburan
Bagi sesetengah pelabur, memfailkan penyata yang dihantar oleh syarikat broker saham, Bursa Malaysia Depository, syarikat pengurusan unit amanah, malah syarikat yang mereka membuat pelaburan, merupakan tugas yang membosankan dan tidak ingin dilakukan. Sesetengahnya mengambil jalan cepat dan mudah – buang penyata itu sebaik sahaja menerimanya. Tetapi, penyata yang “tidak berguna” ini sebenarnya adalah dokumen penting. Dipaparkan di sini beberapa sebab mengapa penyata seperti ini perlu diteliti dan difailkan:

 Syarikat yang anda membuat pelaburan mungkin menukar namanya. Ini biasanya terjadi apabila syarikat itu mengalami pengambilalihan atau penggabungan. Syarikat biasanya akan menghantar notis bagi memberitahu anda mengenai perkara itu. Jika anda membuang notis itu tanpa membaca kandungannya, anda mungkin akan terkejut nanti, terutama apabila ingin menjual saham anda. Nama syarikat itu mungkin “hilang” daripada bursa saham kerana kini syarikat itu berdagang menggunakan nama lain

 Syarikat yang anda membuat pelaburan mungkin dikeluarkan daripada bursa atau tidak disenaraikan lagi. Penyahsenaraian bukan bermakna pemegang saham syarikat itu perlu melupakan sahaja pelaburan mereka. Mereka masih lagi pemegang saham tetapi tidak lagi boleh menjual saham mereka melalui bursa. Sebagai pemegang saham, hak mereka masih kekal walau apa pun status penyenaraian syarikat berkenaan. Oleh itu, penting bagi anda menyimpan semua dokumen yang diterima daripada syarikat yang dinyahsenarai untuk mengetahui perkembangan terkini

 Remisier anda mungkin menyalahgunakan akaun anda. Jika perkara ini berlaku, penyata yang difailkan membolehkan anda mengesan maklumat mengenai akaun anda dan, lebih penting lagi, menjadi dokumen sokongan apabila anda mengemukakan aduan terhadap remisier itu kepada pihak berkuasa


Apakah Tempoh Masa Pelaburan Anda?
Adakah anda tahu sama ada anda adalah pelabur jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang? Apakah definisi umum bagi tiga tempoh masa ini? Biasanya, tempoh masa pelaburan merujuk kepada jangka masa sesuatu pelaburan itu dipegang sebelum dijual bagi penukaran tunai (pencairan). Tempoh masa itu mungkin satu minit bagi pedagang harian, atau beberapa dekad bagi pelabur yang membeli saham dan memegangnya. Apakah tempoh masa yang betul? Sebenarnya, tiada jangka masa yang “betul” atau “salah” bagi pelaburan – ia bergantung kepada objektif dan matlamat pelaburan pelabur serta tahap toleransinya terhadap risiko, iaitu berapa banyak risiko yang bersedia diambilnya.

Oleh kerana setiap pelabur boleh mendefinisikan tempoh masa pelaburannya dalam pelbagai cara, mari kita lihat definisi umum mengenai jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi pelaburan.

Tempoh masa
Biasanya, tempoh masa pelaburan boleh diklasifikasikan sebagai–

 jangka masa pendek – satu hingga tiga tahun
 jangka masa sederhana – tiga hingga lima tahun
 jangka masa panjang – lebih daripada lima tahun.


Mengapa anda perlu mengetahuinya?

Mengetahui tempoh masa anda amat penting kerana ini dapat membantu anda dalam perancangan pelaburan, umpamanya memilih produk pelaburan yang sesuai, memantau prestasi pelaburan tersebut dan lebih penting lagi, mengurus risiko pelaburan. Anda juga mampu melabur dengan lebih agresif jika anda mempunyai tempoh masa pelaburan yang panjang. Misalannya, seseorang yang berusia 25 tahun dan baru memulakan kerjaya boleh melabur dalam produk pelaburan yang lebih mudah turun naik atau berisiko memandangkan dia mempunyai jangka masa yang lebih panjang untuk membuat pengubahsuaian yang perlu jika pelaburan itu mengalami kerugian. Tetapi, seseorang yang hampir bersara secara umumnya patut lebih konservatif dan mengambil jalan yang kurang berisiko memandangkan dia tidak mempunyai banyak masa untuk membuat pengubahsuaian sekiranya pelaburannya tidak berjalan sebagaimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, umur tidak harus menjadi satu-satunya faktor dalam menentukan tempoh masa pelaburan anda. Faktor lain seperti toleransi terhadap risiko, objektif pelaburan, jangkaan pulangan dan juga bila anda memerlukan pelaburan atau wang itu, harus juga diambil kira. Misalannya, seorang yang berusia 30 tahun menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan membeli rumah dan dia merancang untuk membeli rumah dalam masa setahun. Disebabkan jangka masa yang pendek, dia perlu berhati-hati dan melabur secara lebih konservatif kerana dia hanya ada sedikit masa untuk membetulkan pelaburannya sekiranya mengalami kerugian. Oleh kerana mempunyai matlamat jangka pendek, dia tidak boleh melabur dalam produk berisiko walau pun masih lama lagi masanya sebelum tiba tempoh bersara.

Sebagai pelabur bijak, penting bagi anda menimbangkan dan menentukan batas masa pelaburan anda sebelum melabur. Tetapi janganlah sampai ia tidak boleh diubah kerana batas masa yang dibuat perlu fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan keadaan sekiranya pelaburan anda tidak bergerak sebagaimana yang dijangkakan. Dalam situasi ini, anda mesti sentiasa bersedia menukar batas masa pelaburan dan menentukannya mengikut kepentingan anda.

0 comments:

Post a Comment

 
learn2bsmart ◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates