My Credential

Corporate Investment Advisor for MAPAN (Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional)
Corporate Investment Advisor for Globe Departmental Store
Formerly a Remisier with HLG Securities

SmartSERIES : Mabuk Berbelanja

Pelabur yang baik bukan sahaja bermaklumat dan membuat keputusan pelaburan yang betul berdasarkan maklumat, tetapi juga bijak menguruskan perbelanjaan. Tiada guna mempunyai portfolio pelaburan yang baik jika anda merosakkannya dengan perbelanjaan yang tidak perlu. Jika anda mengalami mana-mana senario yang dipaparkan di sini, kemungkinan besar anda termasuk dalam kategori “mabuk berbelanja”.

8. Terlalu banyak jualan MEGA
Sepanjang bulan jualan “MEGA” Malaysia, seluruh negara sakan berbelanja dan anda boleh turut terikut-ikut dengan angin membeli-belah. Lagipun, diskaun sehingga 60 atau 70 peratus hanya datang sekali-sekala dan anda berbelanja tanpa terkawal walaupun ke atas barangan yang tidak perlu.

7. Gila Kad Kredit
Kini terlalu mudah memperoleh kad kredit dan keinginan berbelanja menggunakan kad sentiasa ada. Berbelanja menggunakan kad kredit selalu membuat anda berasa mempunyai lebih banyak wang daripada yang sebenarnya dan ini mendorong anda berbelanja lebih.

6. Musim perayaan sudah tiba!
Antara keseronokan berada dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ialah perayaan sepanjang tahun. Sejak beberapa minggu sebelum musim perayaan, orang Malaysia sentiasa memikirkan yang BARU! Anda juga tidak terkecuali. Ini bermakna membeli barangan baru seperti sofa baru, langsir baru atau baju baru, walaupun yang ada masih elok lagi.

5. Menjadi pengikut setia iklan
Anda menyelak helaian halaman sebuah majalah dan terbaca iklan mengenai telefon bimbit atau fesyen terbaru. Anda tidak dapat menahan diri daripada memiliki barangan terbaru itu dan akhirnya menjadi iklan bergerak bagi barangan tersebut.

4. Perkataan "merancang perbelanjaan" tiada dalam perbendaharaan kata anda
Anda tidak merancang perbelanjaan atau anda mempunyai perancangan tetapi tidak menghiraukannya. Berbelanja atas barang-barang yang anda suka tanpa mengambil kira sama ada anda mampu membelinya menyebabkan anda mengalami masalah kewangan. Kebanyakan orang mengalami masalah kewangan bukan kerana mereka merancang untuk gagal tetapi kerana gagal merancang. Apakah anda salah seorang daripadanya?

3. Meneruskan gaya hidup
Jika anda biasa hidup mewah atau sentiasa mengikut trend, anda berasa perlu mengekalkannya walaupun ketika menghadapi masalah kewangan. Jadi, anda terus berbelanja.

2. Tidak pernah menerima "didikan awal mengenai kewangan"
Tiada siapa yang mengajar anda menguruskan kewangan anda dan anda pula tidak mengambil berat untuk belajar atau meminta bantuan. Moto anda dalam hidup ini mudah sahaja iaitu kerja keras dan berbelanja besar.

1. Akan dapat bonus yang BANYAK tak lama lagi
Anda mendengar khabar angin mengatakan syarikat tempat anda bekerja akan memberikan bonus yang banyak. Jadi, anda mula berbelanja besar, biasanya dengan menggunakan kad kredit. Akhirnya anda mengalami masalah kewangan kerana bonus yang diperoleh jauh lebih sedikit daripada yang dijangkakan, atau lebih buruk lagi, tiada bonus langsung!

Jika anda seorang yang mabuk berbelanja, anda tidak keseorangan. Banyak orang yang bersusah payah cuba mengawal tabiat berbelanja mereka dan tidak tahu bagaimana hendak membatasinya. Membeli-belah dan berbelanja merupakan petunjuk zaman moden mengenai tabiat lama manusia yang gemar berburu dan berkumpul. Bezanya, kini “perburuan” kita bukan untuk mendapatkan haiwan besar zaman purba, sebaliknya kita ke kompleks membeli-belah untuk “memburu” barangan. Ini merupakan satu masalah tetapi kita boleh mengatasinya.

Langkah paling besar yang boleh diambil ialah menyedari diri kita mempunyai masalah tersebut dan cari jalan atau dapatkan bantuan untuk mengatasinya.

Untuk mereka yang “mabuk berbelanja”, mari kita sambut Tahun Baru ini dengan membuat resolusi untuk merancang perbelanjaan dan menguruskan hutang dengan lebih baik.

3 comments:

  1. Ini topik yang sangat menarik.

    Saya pernah memerhatikan beberapa orang yang menempa kejayaan dalam perniagaan dalam tempoh yang agak singkat. Dari seorang yang bekerja makan gaji, dengan gaji yang tidak pernah cukup, dengan menjalani kehidupan yang selesa tetapi serba kekurangan, lalu menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

    Akibat rangsangan yang besar untuk berjaya, mereka mencapai tahap pendapatan yang sebelumnya tidak pernah mereka impikan. Mereka mempunyai duit yang banyak tetapi mereka tidak dapat keluar dari kebiasaan mereka semasa bekerja makan gaji.

    Semasa mereka makan gaji, duit meraka selalu lebih cepat habis berbanding dengan bilangan hari dalam sesuatu bulan. Mereka terbiasa hidup dalam keadaan ini.

    Apa yang mereka lakukan setelah pendapatan mereka secara tiba=tiba begitu banyak sehingga tidak mudah habis? Mereka meluangkan lebih masa untuk berbelanja sebab tidak selesa berada dalam keadaan yang agak asing dari sebelumnya.

    Pada peringkat awal kejayaan, mereka berjaya menghabiskan pendapatan mereka dalam tempoh yang tidak terlalu panjang. Namun pendapatan yang terus meningkat menyebabkan mereka menghabiskan lebih banyak masa untuk berbelanja sampailah satu tahap mereka tidak lagi ada masa untuk terus berniaga.

    Masa yang ada habis digunakan untuk berbelanja, sehingga tidak sempat menguruskan perniagaan mereka. Ada ke sampai macam ni? Kalau ini persoalan yang timbul, biar saya nyatakan, memang ada.

    Kalau dahulunya mereka membeli-belah di kompleks membeli-belah yang berdekatan rumah mereka, akibat terlalu banyaknya duit yang mereka ada, mereka mula berbelanja di Paris dan London. Cepat sikit boleh habis duit.

    Kalau dahulunya mereka bersarapan di rumah atau gerai dan kedai berhampiran pejabat, mereka sering bersarapan di Muar dan Singapura walaupun mereka tinggal di Shah Alam. Kalau tak macam-mana nak habiskan duit yang banyak ni?

    Kalau dulunya mereka berpuas hati dengan menonton perlawanan bolasepak dalam keselesaan ruang keluarga di rumah, kini mereka rasa gelisah jika tidak dapat berada dalam kalangan aksi sebenar di Old Trafford.

    Bukan apa, sebenarnya mereka hanya sekadar menjalani kehidupan sebagaimana biasa. Duit dah biasa habis, jadi sekiranya tak habis jadi luar biasa. Kena habiskan juga.

    Yang malangnya, kejayaan perniagaan mereka mendatangkan pendapatan yang begitu besar dan apabila dibelanjakan tidak habis-habis. Demi untuk menghabiskan duit sebagaimana biasa, mereka berbelanja dan terus berbelanja sehingga tidak ada lagi masa untuk menguruskan perniagaan yang memberikan mereka pendapatan.

    Sehinggalah habis duit mereka, barulah mereka berpuas hati dan barulah mereka tenang semula. Barulah mereka mula BEKERJA semula.

    ReplyDelete
  2. tabiat adalah salah satu perkara yang amat sukar dikikis. ianya sebenarnya datang dari dalam hati setiap seorg. but, ada juga instant d mana tabiat boleh hilang... contohnya apabila ada perkara2 yang extreem berlaku (event extreem).

    ini kerana dgn tidak adanya event2 extreem ni, manusia memang MUDAH LUPA.

    jadi, sebelum terlambat i urge everybody.. wake up and plan ... what ever plan kecik atau besar sudah memadai kerana ianya boleh dijadikan stepping stone untuk yang lebih besar

    ReplyDelete

 
learn2bsmart ◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates