My Credential

Corporate Investment Advisor for MAPAN (Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional)
Corporate Investment Advisor for Globe Departmental Store
Formerly a Remisier with HLG Securities

SmartSERIES : Menabung Sebagai Persediaan Bersara Bahagian 1

Bersara boleh menjadi peringkat yang menyeronokkan dalam hidup seseorang, itulah sebabnya banyak orang mahu bersara awal. Ada yang merancang untuk bekerja hingga berumur 45 tahun, dan selepas itu mahu menghabiskan umur mereka dengan bersantai di pantai atau mengelilingi dunia. Untuk bersara awal, sudah pasti bergantung kepada berapa banyak wang yang berjaya dikumpulkan (sepanjang tempoh bekerja) – dan ini biasanya bergantung kepada kebijaksanaan anda merancang persediaan untuk bersara.

Penting untuk memiliki perancangan asas persaraan sepanjang tempoh anda bekerja dan mengemas kini perancangan itu secara berkala, terutama apabila keadaan anda berubah – sama ada di segi kewangan atau lain-lain. Berapa pun usia anda, tidak terlambat merancang persaraan, tetapi memulakan lebih awal membantu mengelakkan sebarang tekanan yang tidak perlu. Dalam menabung untuk masa depan, anda perlu membuat pilihan antara berbelanja dan menabung. Sebagai contoh, jika sekarang anda berbelanja mewah, beli kereta sport yang mahal, sistem hi-fi yang canggih atau bercuti ke luar negara, mungkin tidak banyak wang yang tinggal dalam akaun bank ketika anda bersara nanti. Kecuali jika anda dapat mengumpul wang melalui pelaburan yang bijak, atau mempunyai apa-apa bentuk simpanan wajib yang lain untuk memberikan gaya hidup selesa apabila bersara.

Tujuh langkah mudah untuk mengira berapa banyak wang yang anda perlukan


Tentukan berapa tahun lagi sebelum anda bersara

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah menentukan berapa tahun lagi yang ada untuk mencapai perancangan bersara anda. Lebih jelas lagi, ada berapa tahun lagi sebelum anda bersara – ini mungkin umur yang anda rancang untuk bersara (misalnya, 45 tahun), atau mesti bersara (misalnya, pada umur 55 atau 56 dalam perkhidmatan awam), ditolak umur anda sekarang.

Ambil contoh Jamil, sekarang ini berusia 31 tahun dan merancang untuk bersara pada usia 55. Jumlah tahun yang masih ada sebelum tiba tempoh bersara ialah:


Umur yang dirancang untuk bersara : 55 tahun
Tolak umur sekarang : 31 tahun
Jumlah tahun yang ada sebelum bersara : 24 tahun



Tentukan pendapatan yang diingini selepas bersara


Langkah selanjutnya ialah memastikan berapa banyak wang yang diperlukan apabila bersara. Sukar untuk diramalkan tetapi tidak mustahil untuk membuat anggaran. Anda boleh membuat anggaran dengan mengambil kira perubahan yang anda rancang dalam corak perbelanjaan dan bagaimana (dan di mana) anda bercadang untuk tinggal selepas bersara. Sebahagian daripada perbelanjaan anda mungkin lebih rendah, contohnya, perbelanjaan yang berkaitan dengan kerja (seperti minyak kereta atau tambang bas), pakaian dan rumah. Sebaliknya, perbelanjaan lain mungkin meningkat: contohnya, perbelanjaan melancong, kerana anda mempunyai banyak masa lapang. Pada masa yang sama, perbelanjaan perubatan anda mungkin meningkat, kerana semakin umur meningkat anda semakin terdedah kepada penyakit. Lazimnya dicadangkan bahawa anda memerlukan lebih kurang 60% hingga
70% daripada jumlah pendapatan tahunan terakhir anda.

Dalam contoh yang diberikan, andaikan bahawa pendapatan terakhir Jamil ialah RM200,000 setahun. Oleh itu, pendapatan tahunan yang diperlukan selepas bersara ialah RM120,000 (iaitu 60% daripada RM200,000), dikira seperti ini: 0.6 X RM200, 000 = RM120,000

Setelah membuat pengiraan, kita perlu menganggarkan berapa lama Jamil memerlukan pendapatan selepas bersara. Berapa tahun pendapatan ini diperlukan menunjukkan jangka masa Jamil dijangkakan hidup. Di Malaysia, menurut maklumat terkini daripada Jabatan Perangkaan, purata jangka hayat bagi lelaki ialah 70 tahun manakala bagi wanita, 75 tahun.

Katakanlah Jamil dijangkakan hidup sehingga berumur 80 tahun, dia memerlukan 25 tahun pendapatan bersara (dari usia 55 ke atas).


Mengira pendapatan bersara yang disesuaikan dengan inflasi



Inflasi adalah antara faktor paling penting diambil kira dalam perancangan bersara. Inflasi mengikis kuasa beli wang simpanan untuk persaraan, oleh itu ia perlu diambil kira dalam perancangan yang anda buat. Anda perlu menentukan berapa banyak pendapatan persaraan anda selepas disesuaikan dengan inflasi.
Dalam contoh yang diberikan, kita tahu bahawa nilai semasa pendapatan persaraan Jamil ialah RM120, 000 (daripada Langkah 2), dan dia mempunyai 24 tahun sebelum bersara (daripada Langkah 1). Kadar purata inflasi di Malaysia (dari 1990 hingga 2001) ialah 3.3% – lihat carta di bawah. Andaikan bahawa kadar purata inflasi bagi tempoh 24 tahun akan datang ialah 5% setahun.





Sumber: Jabatan Perangkaaan


Pendapatan persaraan RM120,000 hari ini pada kadar purata inflasi sebanyak 5% memerlukan Jamil mempunyai pendapatan yang disesuaikan dengan inflasi sebanyak RM387, 011 setahun selama 24 tahun. Ini boleh dikira sebagai:

FV = RM120, 000 x FVIF (24 tahun, 5%)
= RM120, 000 x 3.225
= RM387,000



FV = Nilai akan datang
FVIF = Faktor faedah nilai akan datang (lihat Jadual 1)

0 comments:

Post a Comment

 
learn2bsmart ◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates